Monday, 3 June 2013

Kenangan Silat Kalimah

Posted by Unknown On 08:29 | 8 comments
Silat Kalimah telah dikembangkan oleh seorang pendakwah atau saudagar arab yang diyakini berasal dari Yaman. Nama pendakwah atau saudagar itu ialah Syeikh Abdullah Al-Qumairi atau Syeikh Abdullah Rafaei Qibrari, atau lebih dikenali sebagai Syeikh Tajred. Beliau merupakan Khalifah ke 30 bagi Tariqat Rifa'iyah. Beliau telah berdagang hingga ke Ligor iaitu pusat perdagangan Islam yang pertama pada masa dahulu. Beliau telah singgah di sana dan menyebarkan agama Islam di Qalha (kini dikenali dengan nama Kedah Darul Aman) kira-kira 9OO tahun yang lampau. Pada ketika itu, Kedah berada di bawah pemerintahan Phra Ong Mahawangsa dan raja tersebut telah memeluk agama Islam dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah.

Sultan Muzaffar Shah amat tertarik dengan cara penyampaian dakwah Islam yang dibawa Syeikh Tajred dan telah melantik Syeikh Tajred menjadi penasihat di Istana Kedah. Syeikh Tajred kemudiannya berkesempatan mengajar seni mempertahankan diri yang diilhamkan daripada kaedah perbuatan dalam solat, kepada Sultan Muzaffar Shah.

Syeikh Tajred menyatakan bahawa seni Silat Kalimah mempunyai nilai mempertahankan diri yang tinggi, berbeza daripada ilmu mempertahankan diri yang lain. Kerana itulah apabila Sultan Muzaffar Shah menerima ilmu Silat Kalimah ini; ia telah dirahsiakan dan hanya diajarkan kepada keturunan kesultanan Kedah sahaja. Warisan diraja ini berterusan sehinggalah tiba kepada pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, pada abad ke-19.

Setelah sekian lama Silat Kalimah ini dirahsiakan daripada orang kebanyakan. Dengan kehendak Allah, pada abad ke-19, semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin, telah berlaku suatu penderhakaan di Sungai Tuntung, Krian. Ia dilakukan oleh seorang lelaki berketurunan Batak dari seberang, bernama Tuah (bukan Hang Tuah). Penderhakaan tersebut gagal dibanteras oleh para panglima Kedah sendiri. Sehinggalah Sultan Ahmad Tajuddin mengambil keputusan untuk menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ismail. Ini bertujuan untuk membanteras penderhakaan Tuah daripada berterusan dan Panglima Tok Ismail mengambil masa 44 hari sahaja untuk khatam dalam pembelajaran.

Setelah mempelajari ilmu Silat Kalimah yang diturunkan oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Tok Ismail telah berjaya menangkap Tuah penderhaka. Tuah kemudiannya dibawa ke Kuala Krian dekat Tanjung. Di tempat inilah Tuah dihukum bunuh dan akibat peristiwa ini, tempat itu digelarkan dengan nama Tanjung Tuah sehingga sekarang. Semasa Panglima Tok Ismail berumur 60 tahun, beliau telah menurunkan ilmu Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.


Panglima Tok Ali dan Panglima Tok Hadi.

Sekitar tahun 1854, berlaku satu peperangan di antara kerajaan Kedah dan kerajaan Siam. Panglima Tok Ali telah mengetuai bala tentera kerajaan Kedah diikuti oleh Panglima Tok Hadi dan Tengku Md Saad. Peperangan tersebut berakhir dengan kekalahan dialami oleh kerajaan Kedah. Akibat peristiwa ini Panglima Tok Ali telah berkecil hati dan bersumpah tidak akan memijak lagi bumi Kedah. Kekalahan Kedah tersebut berlaku disebabkan oleh kecuaian Tengku Md. Saad yang secara langsung membuatkan Panglima Tok Ali membawa diri ke Batu Bara.


Panglima Tok Rashid


Panglima Tok Rashid dilahirkan di Sedakah, Kedah pada tahun 1863. Beliau mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Panglima Tok Ismail sendiri. Semasa perkara ini berlaku, Panglima Tok Ismail pada ketika itu sudah pun lanjut umurnya, namun masih mampu untuk menurunkan ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada Panglima Tok Rashid. Pada tahun 1890, telah berlaku satu wabak taun di Sungai Limau Yan, Dulang Besar dan Dulang Kecil. Pada tahun ini juga menyaksikan kehadiran penjajah Inggeris, maka Panglima Tok Rashid dan Panglima Tok Ismail membuat keputusan untuk berhijrah dari Mukim Dulang Yan ke Sungai Tuntung Krian. Akan tetapi sebelum sempat berpindah, Panglima Tok Ismail telah meninggal dunia terlebih dahulu dan jasad Panglima Tok Ismail itu telah disemadikan di sebuah pulau yang terletak di negeri Kedah.

Panglima Tok Rashid kemudiannya telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada anak angkatnya iaitu Tok Guru Yahya Said dan turut serta ialah anak lelaki Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Bukan itu sahaja, beliau juga telah mengajarkan kepada Tok Guru Yahya Said cara-cara membuat ubatan tradisional daripada akar kayu dan pokok-pokok herba di dalam hutan. Apabila Panglima Tok Rashid meninggal dunia, jasad beliau telah disemadikan bersebelahan kubur Panglima Tok Ismail. Pewaris terakhir bagi Panglima Tok Rashid adalah anak angkat beliau iaitu Tok Guru Yahya Said dan Tok Bidin. 

Pak Guru Yahya Said

Beliau dilahirkan pada tahun 1903 di Kuala Kerian, Kedah. Tok Guru Yahya Said adalah anak angkat kepada Panglima Tok Rashid. Beliau bekerja dengan Panglima Tok Rashid sebagai seorang pembuat bendang, pembuat atap rumah dan pencari akar kayu untuk dijadikan adunan ubatan tradisional yang dihasilkan oleh Panglima Tok Rashid sendiri.

Pada tahun 1923, Tok Guru Yahya Said adalah orang awam kebanyakan pertama yang mempelajari Silat Kalimah daripada Panglima Tok Rashid. Rakan seperguruan Tok Guru Yahya Said adalah anak Panglima Tok Rashid sendiri iaitu Tok Bidin. Apabila tamat perguruan, beliau bekerja sebagai seorang anggota polis dan tinggal di Batu Kurau, Perak.

Pada tahun 1938, Tok Guru Yahya Said mula mengajar Silat Kalimah ini kepada para pemuda di Daerah Batu Kurau. Diantaranya ialah Haji Awang Salleh, Harun Haji Hussein, Md. Daud Tok Sujak dan Haji Baharin Haji Ludin dan ramai lagi. Pada tahun 1942, Yusof Misai dari Bagan Serai, Perak juga telah mempelajari seni Silat Kalimah ini.

Pada tahun 1949, Tok Guru Yahya Said telah menamatkan tugasnya sebagai anggota polis. Beliau mula aktif sebagai penjual ubatan tradisional dan menjualnya ke seluruh pelusuk Malaysia. Dalam pada itu, Tok Guru Yahya Said telah berkenalan dengan Yahya Abdullah@Yahya Masulin, Said Ali Abas, Pak Sawir Labeh, Haji Abu Malik dan Pak Mansor.

Para penjual ubat ini turut mempelajari ilmu Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said sendiri, bermula dari tahun 1950.

Pada tahun 1963, seorang pemuda yang bernama Cikgu Mohd. Zohdi telah berhasrat untuk mempelajari ilmu Silat Kalimah ini daripada Tok Guru Yahya Said sendiri. Kini beliau adalah Pak Guru Utama Silat Kalimah Yahya Said dan masih mengajar dan aktif di dalam mengembangkan Silat Kalimah di sekitar negeri Perak.

Pada suatu masa, Yang Berhormat Encik Mohd. Khir Johari telah menyatakan bahawa orang Melayu tidak mempunyai ilmu seni mempertahankan diri yang sebenar. Yang wujud hanyalah silat tari untuk menyambut pengantin dan hari perayaan. Bermula dari peristiwa inilah, Tok Guru Yahya Said berazam hendak membuktikan bahawa orang Melayu turut mempunyai seni mempertahankan diri yang benar-benar bercorak keislaman dan setanding dengan ilmu mempertahankan diri yang dimiliki oleh bangsa lain.

Pada tahun 1965, dua adik beradik iaitu Fadil dan Che Ngah telah mempelajari Silat Kalimah daripada Tok Guru Yahya Said.

Kemudian pada tahun 1966, Tok Guru Yahya Said mengembangkannya di Teluk Piai, Jalan Gunung Kriang kepada 20 orang pemuda, di Alor Merah seramai 20 orang. Semasa mengajar di Teluk Wan Jah, seramai 20 orang telah berguru dengan beliau, salah seorang daripada mereka ialah Ustaz Hanafi Bin Haji Ahmad yang merupakan pengasas dan Guru Utama Silat Cekak Malaysia.

Pada tahun 1968, Tok Guru Yahya Said telah mengajarkan ilmu Silat Kalimah kepada Pak Guru Azmi Long dan Cikgu Ridzuan Long hingga khatam. Tok Guru Yahya Said telah mengamanahkan Pusaka Parang Lading milik Panglima Tok Rashid kepada Pak Guru Azmi Long dengan harapan Silat Kalimah akan terus berkembang subur.

Pada 12 hingga 14 Julai, 1973, sebuah Konvensyen Silat Melayu Malaysia yang pertama telah diadakan di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang .

Tok Guru Yahya Said telah memberikan demonstrasi Silat Kalimah ini kepada para perwakilan dan dari peristiwa ini beliau telah menerima gelaran Mahaguru. Tok Guru Yahya Said telah diminta membuat kertas kerja yang lengkap mengenai Silat Kalimah ini.
Parti Komunis Malaya (PKM : 1930-1989) telah membangkitkan keadaan darurat di Malaysia semasa dan selepas pemerintahan British antara tahun 1967 hingga 1989. Pak Yahya Said telah diketahui terlibat dalam membanteras kegiatan anggota PKM. Salah satu peristiwa berlaku di Ayer Keroh, dimana Pak Yahya Said berjaya mengatasi serangan dan kepungan PKM sehinggakan anggota komunis mengalah dan berundur.

Pak Yahya Said juga terkenal semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942 hingga 1945.

Sehinggakan pihak tentera Jepun mencari beliau untuk mempelajari teknik 'mematahkan tangan serangan pedang'. Dan teknik ini dipercayai diserapkan ke dalam ilmu beladiri ketenteraan mereka.

Pada tahun 1974, pihak Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia telah mengambil daya usaha menyelidik dan mempelajari kelebihan Silat Kalimah bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia.

Maka pada tarikh 22 Mei, 1974. Seramai 3 orang jenderal, 5 orang kolonel dan 2 orang leftenan kolonel antaranya adalah Brigedier Jenderal Yusuf Din, Brigedier Jenderal Mohd Ghazali Bin Hj Che Mat dan Brigedier Jenderal Wan Ismail. Mereka telah belajar Silat Kalimah hingga tamat dibawah kelolaan Tok Guru Yahya Said sendiri.

Pada tahun 1979 pula, Pak Guru Utama Silat Kalimah iaitu Tok Guru Yahya Said telah menghembuskan nafas yang terakhir dan jenazah beliau dikuburkan di Batu Kurau, Perak.

Hingga kini, masih ada lagi penjual ubat yang mengenali Tok Guru Yahya Said iaitu Pak Mohamad Nasir di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kamaruddin dan Zubir Duyah di Terengganu serta Bustani di Kuantan, Pahang. Ismail di Kuala Perlis, Perlis serta Radin Salleh di Parit Yaani, Batu Pahat, Johor. Selain itu, sahabat Tok Guru Yahya Said yang masih hidup ialah Tok Penghulu Zakaria yang kini menetap di Johor Bahru, Johor.

Itulah kisah Tok Guru Yahya Said yang telah bertindak sebagai pengasas Silat Kalimah moden dan telah berjaya dalam cita-cita beliau untuk menyahut cabaran bahawa orang Melayu mempunyai seni silat yang tersendiri.

Pak Guru Azmi Long  

Dilahirkan dalam enam adik beradik di Kedah pada tahun 1934. Dibesarkan oleh ibu beliau yang bernama Fatimah Binti Mohd Said dan bapanya iaitu Long Bin Ishak yang bertugas di Pejabat Daerah Kulim, Kedah. Salah seorang adik kepada Pak Guru Azmi Long yang setia dengan perjuangan Persatuan Silat Kalimah sehingga akhir hayatnya adalah Allahyarham Cikgu Redzuan Long.

Menerima pendidikan Darjah 1 hingga 4, di Sekolah Melayu Kulim dan terpaksa berhenti belajar disebabkan oleh penaklukan tentera Jepun ke atas Semenanjung Tanah Melayu pada tahun 1944. Bapa Guru Utama Cikgu Azmi Long kemudiannya berjaya meneruskan pendidikan di Sekolah Ibrahim hingga darjah 6.

Pada tahun 1952, beliau mula bekerja dengan British Army dan ditugaskan di bawah Royal Electrical Mechanical Engineer (REME) sehingga beliau memiliki Army British Gred 1 - Certificate of English, British Army.

Pak Guru Azmi Long berbaju kelabu

Beliau menamatkan tugas dari British Army pada tahun 1959 dan memulakan hidup baru sebagai orang awam. Pada tahun 1960, beliau memulakan karier baru sebagai penjual ubat pil tablet (Gain Weight) iaitu pil bina badan. Dan disitulah bermulanya persahabatan dengan Tok Guru Yahya Said. Hasil dari perkenalan ini, akhirnya Pak Guru Azmi Long dianggap sebagai anak angkat oleh Allahyarham Tok Guru Yahya Said sendiri.

Pak Guru Azmi Long terkenal dengan kemahiran tinju dan gusti semasa beliau berkhidmat untuk British Army. Tok Guru Yahya Said telah mendedahkan kelebihan gerak penangkap ilmu Silat Kalimah dan ini menarik minat Pak Guru Azmi Long untuk belajar. Perguruan tersebut berlangsung secara senyap tanpa pengetahuan sesiapa pun dan ia berlangsung setiap kali Cikgu Azmi Long dan Tok Guru Yahya Said bertemu di dalam perjalanan menjual ubatan tradisional ke serata tempat.

Pak Guru bermain dengan anak sulung Cikgu Zambri

Sehinggalah pada satu ketika iaitu pada tahun 1968. Perhubungan yang rapat antara beliau dengan Tok Guru Yahya Said telah menyebabkan Tok Guru Yahya Said berhasrat untuk menurunkan sepenuhnya ilmu dan ajaran Silat Kalimah ini kepada beliau. Maka Pak Guru Azmi Long pun berguru sehingga tamat. Turut serta dalam perguruan ini ialah adik beliau sendiri iaitu Cikgu Redzuan Long.

YAB Menteri Besar Pahang Dato Mohamad Jusoh yang mengalu-alukan Pak Guru Azmi Long bergiat Aktif di Pahang

Turut diwariskan kepada Pak Guru Azmi Long, sebilah Pusaka Parang Lading milik Panglima Tok Rashid sebagai bukti amanah untuk mengembangkan ajaran ilmu Silat Kalimah.

Pak Guru Mohd Zambri

Beliau merupakan penerus kepada Pak Guru Azmi Long. Semasa zaman Azmi Long lagi, silat ini sudah banyak berpecah. Oleh itu, Pak Guru Mohd Zambri tidak berminat untuk bersibuk-sibuk berebut gelaran Guru Utama itu. Tetapi beliau merupakan antara guru yang banyak berjasa. Beliau yang mula-mula membuka lembaran baru Silat Kalimah di Pantai Timur, dengan memulakan karier di Kuantan. Setelah Silat Kalimah sudah lama bertapak di negeri-negeri utara.    

Antara keratan akhbar di zaman 70an



 
Silat Kalimah pernah mencapai kemuncak kegemilangan sekitar tahun 1970an, diiktiraf dan diterima oleh Angkatan Tentera Malaysia. Sebilangan pegawai atasan tentera telah belajar hingga tamat. Penglibatan pegawai atasan termasuk yang bertaraf jeneral dalam satu gelanggang mempelajari silat melayu iaitu Silat Kalimah adalah satu sejarah yang membanggakan. Namun selepas itu pihak tentera telah menubuhkan Tempur Tanpa Senjata (TTS). Begitu juga yang terjadi ketika Silat Kalimah diterima oleh pihak polis dan kemudiannya, tertubuh Seni Silat Polis.

 Teratak Cikgu Zambri di Bukit Kecil

 Cikgu Zambri bersama Mat Lela Pahlawan Pahang

 Ketika latihan dalam Polis

 Ketika latihan dalam Tentera

 Ketika latihan di Maahad Tahfiz Rusila


 2002, kali terakhir Pak Guru Azmi Long membuat lawatan ke Terengganu

 Paling kiri, Don F. Drager, Presiden Judo Sedunia



Bersama Tan Sri Mahyudin Yassin yang ketika ini ialah Menteri Besar Johor, sambil mendukung anak ke-7, Ikram Rafaei.

D.Y.M.M. Baginda Sultan Johor dan Sultanah Johor berkenan mengabadikan kenangan bersama Pak Guru Zambri (berbaju melayu dan bersongkok) dan rombongannya di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Cikgu Zambri diamanahkan tauliah mewarisi perguruan Silat Kalimah seawal tahun 1975 oleh Guru Kanan Silat Kalimah ketika itu iaitu Cikgu Azmi Long. Mandat dan ijazah ini telah diredhai dan direstui oleh Pak Guru Yahya Said pada tahun 1977 melalui akad dan ikrar yang berlangsung di rumah Pak Guru Yahya Said sendiri di Batu Kurau, Perak. Peristiwa penting ini disaksikan oleh Cikgu Hamid Man selaku Pengarah Latihan Silat Kalimah dan Cikgu Ku Saari Ku Ahmad iaitu jurulatih yang mendidik dan mengajar Cikgu Zambri.
 Cikgu Hamid Man bersama rombongan Diraja

Demi minat hendakkan ilmu, beliau yang ketika itu bertugas di Kuantan telah berulang setiap hujung minggu ke Kuala Lumpur dan belajar di gelanggang Silat Kalimah Greenwood Park. Silat Kalimah di Pahang diasaskan oleh Cikgu Mohd Zambri apabila seramai 12 orang ahli mula belajar di gelanggang pertama yang bertempat di Alor Akar, Kuantan.

Cikgu Hamid Man bersama Dato' Seri Abdullah yang ketika ini belum menjadi Perdana Menteri

Pada tahun 1976, dengan kumpulan pertama seramai 7 orang di gelanggan di Bukit Kecil, Silat Kalimah mula bertapak di Negeri Terengganu. Seterusnya Cikgu Mohd Zambri berjaya melahirkan generasi yang memperkembangkan Silat Kalimah ke merata tempat seperti Kelantan, Johor, Sabah, Sarawak, Indonesia dan lain-lain lagi.

Pada tahun 1985, Cikgu Zambri telah membawa Pak Guru Azmi Long mengembangkan Silat Kalimah ke negara Turki.

Majlis ini telah dirasmikan oleh En. Kamaruddin Mat Amin, Ketua Unit Kokurikulum, b.p Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu

Surat perlantikan Pak Guru Zambri

Antara surat-surat rasmi dalam simpanan :




















Wednesday, 22 May 2013

Sahabatmu Impianku

Posted by Unknown On 13:50 | 1 comment

kalau dulu
cerita bercerita
masa lalu
hikayat berlipulara

adapun mereka 
pahlawan
adapun hamba
sawan

mereka tidurnya berguni
aku tidurku berbini
mereka makannya roti besi
aku makanku ayam kambing lembu biri-biri

baju mereka lusuh
bajuku basuh
kapan mereka terbuka
kapanku bersutera

kudaku proton perodua
kuda mereka kuda
malah ada yang berkuda kaki sahaja
kaki tidak berlapik benda

masjid kuberlian
masjid mereka berdahan
lantaiku bermarmar
atap mereka pelepah tamar

ya! mereka serba kurang 
serba tak cukup

benar! aku serba mewah
serba kepingin

tapi mereka rasanya syurga
tapi aku entah syurga atau sebaliknya...
 

Monday, 20 May 2013

Abdullah bin Umar

Posted by Unknown On 07:26 | No comments

Pemuda harus melakar sejarah hidupnya menjadi insan terhebat di sisi Allah swt. Saat ini ramai anak muda berlumba-lumba mahukan diri mereka disebut-sebut sebagai hebat oleh manusia sekelilingnya. Antaranya mahu digelar hebat kerana pandai berlumba motor, hebat kerana pandai menyanyi, hebat kerana lawaknya disukai ramai, hebat kerana kecerdikan keputusan peperiksaannya, hebat kerana ramai wanita jatuh hati padanya, hebat kerana memiliki jawatan tinggi seusia mudanya, hebat kerana memiliki kenderaan mahal, hebat kerana pakaiannya berjenama, hebat sana dan hebat sini…
Kadang-kadang tidak hebatpun tapi berlagak seolah-olah dirinya hebat.

Kita harus mencontohi pemuda hebat di zaman Rasulullah saw. Dengan adanya contoh kalangan pemuda yang wajar dicontohi, insyaAllah pemuda Islam tidak akan meraba-raba mencari model Korea dan Eropah sebagai bayang ikutan.

Tatkala menyingkap sirah sahabat Rasulullah saw. khususnya generasi pemuda, pasti ia akan membangkitkan selera iman pemuda muslim hari ini. Mengapa? Kerana mereka membina diri mereka menjadi hebat! Hebat di sisi Allah dan Rasulnya.

Saat Perang Khandak bakal tercetus, beredar khabar bahawa sesiapa sahaja lelaki berusia 15 tahun ke atas berhak ikut berjihad. Mendengar khabar tersebut, seorang pemuda berseri-seri wajahnya. Usianya saat itu memasuki 15 tahun. Dia segera mendaftarkan diri. Itulah idamannya selama ini, berjihad bersama Rasulullah saw. Penyertaannya dalam pelbagai medan jihad tidak pernah lepas dalam sejarah hidup pemuda itu. Saat perang membuka kota Mekah (Fathul Makkah), dia berusia 20 tahun dan termasuk pemuda yang menonjol di medan perang. Dialah, Abdullah ibn Umar, atau Ibnu Umar.

Hebat bukan! Ibnu Umar mengajar kita saat mudanya dia bergabung bersama kafilah dakwah Rasulullah saw. Beliau teruja dan berlumba-lumba menempatkan dirinya berada dalam saf perjuangan dakwah Rasulullah saw. Inilah sikap pemuda yang hebat, berlumba menyertakan diri dalam saf dakwah kerana dakwah adalah “kerja besar” buat orang beriman. Pemuda yang beriman pasti tidak akan melepaskan masa dan umurnya berlalu tanpa “kerja besar”, menempatkan dirinya dalam saf dakwah. Kita bagaimana?

Kepemudaan Ibnu Umar sekali lagi mengajar kita bagaimana beliau menghimpun kekuatan untuk menjadi pemuda hebat di sisi Allah dan Rasulnya. Ibnu Umar menghayutkan dirinya dengan tarbiyah ruhiyah, beliau berjaga dua pertiga malam. Beliau berkawan dengan malam. Ibnu Umar amat dikenali sebagai pemuda yang menitikberatkan aspek tarbiyah ruhiyahnya, maka beliau berkawan dengan malam untuk beribadah, dan berkawan dengan dinihari untuk menangis memohon ampunan-Nya. Beliau dikenali sebagai sahabat Rasulullah saw yang taat menghidupkan solat malamnya. Riwayat telah menceritakan bahawa di masa hayat Rasulullah saw, Ibnu Umar mendapat kurnia dari Allah. Setelah selesai solat bersama Rasulullah, beliau pulang dan bermimpi. "Seolah-olah di tanganku ada selembar kain. Tempat mana saja yang kuingini di syurga, kain itu akan menerbangkanku ke sana. Dua malaikat telah membawaku ke neraka, memperlihatkan semua bahagian yang ada di neraka. Keduanya menjawab apa saja yang kutanyakan mengenai keadaan neraka," begitulah diungkapkan Ibnu Umar kepada kakaknya yang juga isteri Rasul, Hafshah, keesokan harinya.

Hafshah langsung bertanyakan mimpi adiknya kepada Rasulullah. Rasulullah saw. bersabda:
"ni’marrajulu 'abdullah, lau kaana yushallii minallaili fayuksiru", akan menjadi lelaki paling utamalah Abdullah itu, andainya ia sering solat malam dan banyak melakukannya.

Semenjak itulah, sampai akhir hayatnya, Ibnu Umar tidak pernah meninggalkan qiyamullail, baik ketika bermukim atau bermusafir. Beliau amat tekun menegakkan solat, membaca Al-Quran dan banyak berzikir menyebut asma Allah. Beliau amat menyerupai ayahnya, Umar ibn Khatthab, yang selalu mencucurkan airmata tatkala mendengar ayat-ayat peringatan dari Al-Quran.

'Ubaid ibn 'Umair menjadi saksi, "Suatu ketika kubacakan ayat ini kepada Abdullah ibnu Umar." 'Ubaid membacakan ayat Al Quran, surah an-Nisaa’ :41-42 yang ertinya:

Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami datangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (Muhamad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). Di hari itu orang-orang kafir dan yang mendurhakai Rasul berharap kiranya mereka ditelan bumi, dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun."

Maka Ibnu Umar menangis hingga janggutnya dibasahi oleh air matanya.

Pada kesempatan lain, Ibnu Umar sedang duduk di antara sahabatnya, lalu membaca surah Al Muthaffifin ayat1-6 yang maknanya:
Maka celakalah orang-orang yang berlaku curang dalam takaran. Yakni orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain meminta dipenuhi, tetapi mengurangkannya bila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain. Tidakkah mereka merasa bahawa mereka akan dibangkitkan nanti menghadapi suatu hari yang dahsyat, iaitu ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?.

Lantas Ibnu Umar mengulang bahagian akhir ayat ke enam,

"ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam."

Lantas air matanya bercucuran, sampai akhirnya beliau jatuh kerana merasa duka, takut dan cemas yang mendalam menyebabkan beliau banyak menangis.

Inilah pemuda hebat wahai pemuda zaman moden. Mereka amat menitikberatkan tarbiyah diri mereka. Mereka mentarbiyah diri mereka dengan al Quran dan Solat malam. Inilah bekalan jiwa mereka yang telah mencetuskan momentum hebat lantas berprestasi luarbiasa di medan dakwah. Inilah formulanya buat pemuda yang merasa lelah dan longlai saat memajukan dakwahnya. Tiada pemisahan antara dakwah dan tarbiah. Al Quran dan solat malam adalah rahsia kehebatan pemuda di zaman Rasulullah saw. Al Quran dan solat malam mencetuskan suatu energi luarbiasa kepada diri mereka untuk istiqamah dan tetap dalam perjuangan.

Ketahuilah bahawa Abdullah ibnu Umar adalah salah seorang sahabat Nabi yang berhati lembut dan begitu mendalam cintanya kepada Rasulullah. Saat Rasulullah saw telah wafat, apabila beliau mendengar nama Rasulullah disebut di hadapannya, beliau akan menangis. Ketika beliau melewati di sebuah tempat yang pernah disinggahi Rasulullah, baik di Mekah mahupun di Madinah, beliau akan memejamkan matanya, lantas butiran air bening meluncur dari sudut matanya.

Sebagai sahabat Rasul, ahli ibadah dan pejuang dakwah bersama baginda saw. beliau menjadi insan yang tidak punya minat lagi kepada dunia.Dunia baginya di dalam genggaman, malahan duani tidak mampu menipu daya momentum penghambaannya kepada Allah swt. Sikap luarbiasa beliau terhadap kecintaannya kepada akhirat sudah nampak sejak beliau remaja lagi, ketika pertama kali ghairahnya bangkit untuk ikut berjihad bersama Rasulullah saw.

Inilah contoh kepemudaan yang hebat, Rasulullah saw sentiasa di hati. Akhirat menjadi obsesi. Rahsia telah terbongkar, inilah ciri pemuda yang hebat di sisi Ilahi. Ayuh kita contohi, kita tiada masa lagi kerana dunia sedang menanti pemuda yang hebat memimpin dunia ini.

Bercitalah!

Posted by Unknown On 06:28 | No comments
Adakah cita-cita kita masih seperti kanak-kanak?
Ingin jadi seorang doktor, jurutera atau akauntan.
Namun bila ditanya kenapa...
Hanya menggeleng kepala
Terlupa pula nak fikir sampai sana...
Saja suka-suka?

Adakah cita-cita kita masih seperti kanak-kanak?
Ingin hidup yang mewah dan berada
Namun bila kenapa...
Payah pula mencari jawapannya
Tak tahu semuanya untuk apa
Akhirnya hanya mampu berkata
'Apa salahnya...'

Adakah cita-cita kita masih seperti kanak-kanak?
Ingin senang dan mudah sentiasa
Tanpa ujian dan tanpa beban 
Dan bila ditanya kenapa...
'Kerana hidup ini untuk bergembira'

Umar Abdul Aziz...
Bila ditanya apakah cita-citanya
Pantas saja dijawab 'syurga!'
Lantas dia berusaha
Dengan zuhudnya, ibadahnya dan jihadnya
Menjadi khalifah Islam yang tak terhitung jasanya
Demi meraih syurga yang dicita

Mus'ab bin Zubair...
Bila ditanya apakah cita-citanya
'Ingin melihat Iraq dikuasai muslimin'
Bukankah Allah telah menerimanya?
Berbahagialah dia dengan doanya yang mulia

Usamah bin Zaid
Bila ditanya apakah cita-citanya
'Ingin bersama mujahidin'
Lalu Allah perkenankan 
Usia 19 tahun dia bergelar panglima
Rasulullah s.a.w sendiri melantiknya

Urwah bin Jubair...
Bila ditanya apakah cita-citanya
'Ingin menguasai ilmu fiqh dan hadith'
Bersungguh belajar
berbekal Lillahi Taala
Lantas menjadi tokoh ulama` di zamannya
Ilmu fiqh dan meriwayat hadith

Hebat sungguh dan tingginya cita-cita mereka!
Hampir tidak tercapai dek akal kita
Impian mereka jauh ke hadapan...
Melebihi hayat usia
Bermati-matian mereka mencapainya

Buahnya? Seluruh dunia merasa
Manisnya sampai hari ini belum hilang
 Menegakkan agama Allah, ilmu fiqh dan meriwayat hadith
Supaya akhirnya sampai pada kita...

Untuk diri mereka?
Ah... mereka sedang bahagia menunggu musim menuai di akhirat sana!

Jadi usahlah kita seperti kanak-kanak
Berlari-lari dan bermain menikmati alam yang fana
Seperti kanak-kanak yang menunggu ibubapanya memanggil 
Untuk kembali ke pangkuan
 Bercita-cita hanya untuk diri sendiri
Berimpian pula supaya mudah saja untuk menggapainya
Dan berharap hasilnya cepat, dapat dituai di dunia

Tidak terasa beratnya amanah menjadi khalifah
 Tetapi... Tidak juga merasa nikmatnya berkorban untuk Allah
Walau susah, namun menenangkan
Walau payah, namun membahagiakan

Maka bercita-citalah!
Setinggi mungkin dan sehebat mungkin!
Bukan setakat untuk duniamu, bahkan sampai akhiratmu
Kerna... Di situlah nadi penggerak langkahmu
Di situlah titik mula
Dan moga kita berakhir di destinasi yang sama
Di Syurganya...

-Hilal Asyraf-

Saturday, 18 May 2013

Kereta Rosak

Posted by Unknown On 12:43 | 1 comment
Idhan berkawan rapat dengan Meri, Ajak, dan Ejan. Mereka berkongsi sebuah kereta Honda Civic dengan saham samarata. Suatu hari, kereta tersebut telah rosak total loss. Mereka berempat tidak mempunyai duit yang cukup untuk berkongsi membeli kereta baru.

Mujurlah Idhan mempunyai sebuah kereta oldskool Toyota KE30 yang bolehlah dipandu sekadar untuk berulang-alik dari kampus universiti ke rumah sewa mereka. Lalu mereka berempat berkongsi kereta Toyota tersebut. Ditakdirkan, kereta tersebut terbakar enjinnya, tanpa Idhan mengetahui siapakah yang bertanggungjawab. Ditanya ketiga-tiga rakannya, semua tidak mengaku. Idhan terdiam. Dia terpaksa mengeluarkan duit tabungannya untuk membaikpulih kereta hadiah daripada ayahnya itu.

Beberapa bulan kemudian, mereka berempat berjaya mengumpul duit samarata untuk membeli sebuah Perodua Myvi. Idhan gembira kerana akhirnya kereta Toyota itu tidak akan dilasakkan lagi.
Namun selepas beberapa bulan, Myvi tersebut perlu dihantar ke Puspakom untuk beberapa kelulusan.

Mereka ke Puspakom bersama-sama, Idhan memandu Toyota dan Meri memandu Myvi. Setelah Myvi diserahkan kepada pegawai Puspakom, mereka semua pulang ke rumah menaiki Toyota Idhan.

Dalam perjalanan, Ajak bertanya "Idhan, esok aku nak ke Bangsar, pinjam kereta kau?"
"Aku boleh pergi sekali tak?" Idhan menyahut.
"Ala kau.. Aku nak pergi jumpa tunang aku ni"
"Kalau aku tak join sekali, korang tak boleh bawak kereta ni" Idhan bersuara, agak tinggi. Agar didengari semua yang berada di dalam kereta.
"Pehal pulak?" Meri pelik.
"Kereta ni banyak kenangan pada aku. Hadiah ayah aku untuk aku. Hari tu rosak, siapa yang buat? Sampai hari ni aku tak tau. Nak baiki bukan seratus, aku habis lima ribu ringgit kot. Aku cakap camni, korang cakap aku ungkit. Biarlah, daripada aku terasa balik dengan korang, baik aku tak bagi awal-awal. Korang nak pergi mana-mana, aku bagi. Tapi biar aku pergi sekali. Kalau tak nak sangat, aku hantarkan je pun dah cukup. Aku terpaksa buat macam ni, aku tak nak kereta aku rosak, dan aku pun tak nak terasa dengan korang. Aku mintak maaf"

Akhirnya, Idhan tenang kerana apa yang dipendam, sudah terluah. Persahabatan mereka kembali pulih.



Cerita ini memang karangan sekolah rendah. Tetapi tauladan persahabatannya mampu diconteng di setiap lukisan umur. Kiasan kereta mungkin fakta. Jelas nampak ruginya. Kerana kereta itu berpuluh-puluh ribu. Bagaimana pula dengan cerek air, ubat gigi, kasut, dan bola? Remehnya... Sebiji bola itu hanya RM50, tetapi calar tikam pada persahabatan yang tidak ternilai? Itu tiada wang mampu mengubatnya.

Oleh itu wahai sahabat, kadang-kala gurau senda itu penawar. Kadang-kala ia juga racun senawar.
Jangan bergurau dengan mencaci mengeji. Berguraulah memuji mencintai.
Berkongsi itu untuk sama-sama untung. Bukan seorang memberi, seribu menyodong.
Kita semua mencari erti bahagia...
 

Kehidupan Memori

Posted by Unknown On 07:14 | 1 comment

Untuk menilai kehidupan, perlulah dikenal apa itu kehidupan. Apa cerita disebaliknya? Bagi aku, kehidupan aku sangat berkait rapat dengan keluarga. Ya, kehidupan aku, kisah hidup aku, juga kisah hidup abang dan kakakku. Kisah aku dan kisah mereka. Kisah kami bersama.

 Kalau disingkap kembali perjalanan hidupku sebagai anak kedua bongsu, memang banyaklah kemanjaan dan mengada-ngada akan berjaya dicungkil kembali. Tetapi bukan itu menjadi ceritera utama, kerana ia hanya ceriteraku.

Kalau dulu, pagi-pagi aku ke PASTI, Along atau Angah yang hantarkan. Dengan basikal.
Kalau sekarang, pagi-petang pasti aku berbasikal, ke Jaa'miah Mu'tah. Untuk menghadiri kuliah paginya, dan berfutsal petangnya.
Hidup ini ibarat roda, roda yang berpusing kerana itulah gunanya roda. Hari itu, hati ini, tiba-tiba terusik, dek jauhnya dari along dan angah. Mungkin juga berasbabkan letih mengayuh di bumi bergunung ini. Aku turun dari basikal, dan melepaskan letih di tepi jalan. Oh masa.. Mengapa engkau cepat berlalu? Kini masaku sudah terhabis 19 tahun, merindukan masaku 14 tahun dahulu, masa dimana aku masih ringan dilambung Along, digendong Angah. Oh masa..
Dan dikau wahai jarak, mengapa engkau memanjang diwaktu Along bergelar bapa, diwaktu Angah berstatus suami? Di waktu Kak Teh dipanggil ummi dan Kak Lang diseru mama?
Dan mengapa engkau wahai jarak, menjarakkan aku tatkala Abah sudah enam puluh dan Mama sudah lima puluh? Mengapa?

Sungguh jawapannya mudah. Aku tahu. Tetapi luluh hati ini siapa yang tahu?
Sungguh aku perlu kental. Perlu kukuh. Tetapi banjir mata ini empangan mana mampu kukuhi?

Kalau dulu Kak Lang masih single, boleh disakat-sakat, boleh dimanja, sehingga kering dompetnya,
Kalau dulu Kak Teh masih di Gong Kapas, masakannya masih boleh kupulun seorang diri, masih mampu menolongku menggosok baju,
Kalau dulu Kak Cik masih belajar, masih boleh digeletek, spaghetti masih panas beraroma untuk aku lahap semua,
Kalau dulu Kak Ude masih remaja, masih bisa bergaduh denganku, masih kuat main badminton denganku,
Dan kalau semua itu masih boleh...

Sungguh semua itu masih mampu, tetapi perasaannya dan jiwanya sudah berbeza, kerna Along itu sudah bapa, Angah itu sudah ayah, Abah itu atok, dan Mama itu nenda. Aku memandang Kak Lang itu sudah ibu, Kak Teh itu sudah ummi, Kak Cik itu wanita korporat elegan, Kak Ude itu gadis cantik menawan,
dan aku masih menangis...
dan aku masih di sini... termimpi memori...

Memang lumrah semakin dewasa, baju sendiri basuh, makanan sendiri masak. Mata zahir berkata : Ini biasa-biasa saja, kita semakin dewasa, semua orang mengalaminya.
Tetapi mata hati berlara : Ini cukup indah dari erti kedewasaan, tetapi cukup menggundah dari erti kejauhan, keseorangan, kematian, dan kesayuan.

Aku sayu... Kiranya tuhan menayangkan kembali memori kita bersama di Mahsyar nanti, sanggupkah kutertawa? Menangis? Kiranya juga tuhan tidak menayangkannya, apakah kukan gembira? Atau berduka?

Mama
Abah
Along
Angah
Kak Lang
Kak Teh
Kak Cik
Kak Ude
Adli Sayang
Jangan lupa memori kita! Memori kita bersama menjual jam, keropok, kalendar, dan acar buah..
Jangan lupa kenangan kita! Kenangan kita bersuka-ria di mahkamah tinggi, bersenang-lenang di balai polis, berkelah di imigresen pada pukul tiga pagi..
Tolonglah jangan lupa... Akan segala tentang kita...

Mama, sungguh anakmu merinduimu...