Untuk menilai kehidupan, perlulah dikenal apa itu kehidupan. Apa cerita disebaliknya? Bagi aku, kehidupan aku sangat berkait rapat dengan keluarga. Ya, kehidupan aku, kisah hidup aku, juga kisah hidup abang dan kakakku. Kisah aku dan kisah mereka. Kisah kami bersama.
Kalau disingkap kembali perjalanan hidupku sebagai anak kedua bongsu, memang banyaklah kemanjaan dan mengada-ngada akan berjaya dicungkil kembali. Tetapi bukan itu menjadi ceritera utama, kerana ia hanya ceriteraku.
Kalau dulu, pagi-pagi aku ke PASTI, Along atau Angah yang hantarkan. Dengan basikal.
Kalau sekarang, pagi-petang pasti aku berbasikal, ke Jaa'miah Mu'tah. Untuk menghadiri kuliah paginya, dan berfutsal petangnya.
Hidup ini ibarat roda, roda yang berpusing kerana itulah gunanya roda. Hari itu, hati ini, tiba-tiba terusik, dek jauhnya dari along dan angah. Mungkin juga berasbabkan letih mengayuh di bumi bergunung ini. Aku turun dari basikal, dan melepaskan letih di tepi jalan. Oh masa.. Mengapa engkau cepat berlalu? Kini masaku sudah terhabis 19 tahun, merindukan masaku 14 tahun dahulu, masa dimana aku masih ringan dilambung Along, digendong Angah. Oh masa..
Dan dikau wahai jarak, mengapa engkau memanjang diwaktu Along bergelar bapa, diwaktu Angah berstatus suami? Di waktu Kak Teh dipanggil ummi dan Kak Lang diseru mama?
Dan mengapa engkau wahai jarak, menjarakkan aku tatkala Abah sudah enam puluh dan Mama sudah lima puluh? Mengapa?
Sungguh jawapannya mudah. Aku tahu. Tetapi luluh hati ini siapa yang tahu?
Sungguh aku perlu kental. Perlu kukuh. Tetapi banjir mata ini empangan mana mampu kukuhi?
Kalau dulu Kak Lang masih single, boleh disakat-sakat, boleh dimanja, sehingga kering dompetnya,
Kalau dulu Kak Teh masih di Gong Kapas, masakannya masih boleh kupulun seorang diri, masih mampu menolongku menggosok baju,
Kalau dulu Kak Cik masih belajar, masih boleh digeletek, spaghetti masih panas beraroma untuk aku lahap semua,
Kalau dulu Kak Ude masih remaja, masih bisa bergaduh denganku, masih kuat main badminton denganku,
Dan kalau semua itu masih boleh...
Sungguh semua itu masih mampu, tetapi perasaannya dan jiwanya sudah berbeza, kerna Along itu sudah bapa, Angah itu sudah ayah, Abah itu atok, dan Mama itu nenda. Aku memandang Kak Lang itu sudah ibu, Kak Teh itu sudah ummi, Kak Cik itu wanita korporat elegan, Kak Ude itu gadis cantik menawan,
dan aku masih menangis...
dan aku masih di sini... termimpi memori...
Memang lumrah semakin dewasa, baju sendiri basuh, makanan sendiri masak. Mata zahir berkata : Ini biasa-biasa saja, kita semakin dewasa, semua orang mengalaminya.
Tetapi mata hati berlara : Ini cukup indah dari erti kedewasaan, tetapi cukup menggundah dari erti kejauhan, keseorangan, kematian, dan kesayuan.
Aku sayu... Kiranya tuhan menayangkan kembali memori kita bersama di Mahsyar nanti, sanggupkah kutertawa? Menangis? Kiranya juga tuhan tidak menayangkannya, apakah kukan gembira? Atau berduka?
Mama
Abah
Along
Angah
Kak Lang
Kak Teh
Kak Cik
Kak Ude
Adli Sayang
Jangan lupa memori kita! Memori kita bersama menjual jam, keropok, kalendar, dan acar buah..
Jangan lupa kenangan kita! Kenangan kita bersuka-ria di mahkamah tinggi, bersenang-lenang di balai polis, berkelah di imigresen pada pukul tiga pagi..
Tolonglah jangan lupa... Akan segala tentang kita...
Mama, sungguh anakmu merinduimu...
Assalamualaikum wahai penulis Memori Kehidupan.
ReplyDeletePandanglah lebih jauh lagi dari Padang Mashyar, yakni dimana dikau berjaya mengajak mereka kembali tertawa bersama, dikembalikan saat-saat indah semasa kanak-kanak, berlari berkejaran di sungai madu dan susu, dilimpahi dengan rahmat dan nikmat yang tidak dapat aku gambarkan, yang mungkin menyebabkan kamu terpegun seribu satu tahun.
Ya, itulah syurga, matlamat sebenar dalam kehidupan. Mengecapinya bermakna kau mendapatkan segalanya, termasuk kehidupan yang telah kau alami.
Maka berusahalah untuk mendapatkan kembali apa yang kau impikan, pimpinlah mereka kepada-Nya, dalam mencipta kehidupan memori yang diredhai dan kekal disana.
#Tegurlah diri hamba jika tuan hamba gering dengan apa yang telah hamba perkatakan ini.