Wednesday, 22 May 2013

Sahabatmu Impianku

Posted by Unknown On 13:50 | 1 comment

kalau dulu
cerita bercerita
masa lalu
hikayat berlipulara

adapun mereka 
pahlawan
adapun hamba
sawan

mereka tidurnya berguni
aku tidurku berbini
mereka makannya roti besi
aku makanku ayam kambing lembu biri-biri

baju mereka lusuh
bajuku basuh
kapan mereka terbuka
kapanku bersutera

kudaku proton perodua
kuda mereka kuda
malah ada yang berkuda kaki sahaja
kaki tidak berlapik benda

masjid kuberlian
masjid mereka berdahan
lantaiku bermarmar
atap mereka pelepah tamar

ya! mereka serba kurang 
serba tak cukup

benar! aku serba mewah
serba kepingin

tapi mereka rasanya syurga
tapi aku entah syurga atau sebaliknya...
 

Monday, 20 May 2013

Abdullah bin Umar

Posted by Unknown On 07:26 | No comments

Pemuda harus melakar sejarah hidupnya menjadi insan terhebat di sisi Allah swt. Saat ini ramai anak muda berlumba-lumba mahukan diri mereka disebut-sebut sebagai hebat oleh manusia sekelilingnya. Antaranya mahu digelar hebat kerana pandai berlumba motor, hebat kerana pandai menyanyi, hebat kerana lawaknya disukai ramai, hebat kerana kecerdikan keputusan peperiksaannya, hebat kerana ramai wanita jatuh hati padanya, hebat kerana memiliki jawatan tinggi seusia mudanya, hebat kerana memiliki kenderaan mahal, hebat kerana pakaiannya berjenama, hebat sana dan hebat sini…
Kadang-kadang tidak hebatpun tapi berlagak seolah-olah dirinya hebat.

Kita harus mencontohi pemuda hebat di zaman Rasulullah saw. Dengan adanya contoh kalangan pemuda yang wajar dicontohi, insyaAllah pemuda Islam tidak akan meraba-raba mencari model Korea dan Eropah sebagai bayang ikutan.

Tatkala menyingkap sirah sahabat Rasulullah saw. khususnya generasi pemuda, pasti ia akan membangkitkan selera iman pemuda muslim hari ini. Mengapa? Kerana mereka membina diri mereka menjadi hebat! Hebat di sisi Allah dan Rasulnya.

Saat Perang Khandak bakal tercetus, beredar khabar bahawa sesiapa sahaja lelaki berusia 15 tahun ke atas berhak ikut berjihad. Mendengar khabar tersebut, seorang pemuda berseri-seri wajahnya. Usianya saat itu memasuki 15 tahun. Dia segera mendaftarkan diri. Itulah idamannya selama ini, berjihad bersama Rasulullah saw. Penyertaannya dalam pelbagai medan jihad tidak pernah lepas dalam sejarah hidup pemuda itu. Saat perang membuka kota Mekah (Fathul Makkah), dia berusia 20 tahun dan termasuk pemuda yang menonjol di medan perang. Dialah, Abdullah ibn Umar, atau Ibnu Umar.

Hebat bukan! Ibnu Umar mengajar kita saat mudanya dia bergabung bersama kafilah dakwah Rasulullah saw. Beliau teruja dan berlumba-lumba menempatkan dirinya berada dalam saf perjuangan dakwah Rasulullah saw. Inilah sikap pemuda yang hebat, berlumba menyertakan diri dalam saf dakwah kerana dakwah adalah “kerja besar” buat orang beriman. Pemuda yang beriman pasti tidak akan melepaskan masa dan umurnya berlalu tanpa “kerja besar”, menempatkan dirinya dalam saf dakwah. Kita bagaimana?

Kepemudaan Ibnu Umar sekali lagi mengajar kita bagaimana beliau menghimpun kekuatan untuk menjadi pemuda hebat di sisi Allah dan Rasulnya. Ibnu Umar menghayutkan dirinya dengan tarbiyah ruhiyah, beliau berjaga dua pertiga malam. Beliau berkawan dengan malam. Ibnu Umar amat dikenali sebagai pemuda yang menitikberatkan aspek tarbiyah ruhiyahnya, maka beliau berkawan dengan malam untuk beribadah, dan berkawan dengan dinihari untuk menangis memohon ampunan-Nya. Beliau dikenali sebagai sahabat Rasulullah saw yang taat menghidupkan solat malamnya. Riwayat telah menceritakan bahawa di masa hayat Rasulullah saw, Ibnu Umar mendapat kurnia dari Allah. Setelah selesai solat bersama Rasulullah, beliau pulang dan bermimpi. "Seolah-olah di tanganku ada selembar kain. Tempat mana saja yang kuingini di syurga, kain itu akan menerbangkanku ke sana. Dua malaikat telah membawaku ke neraka, memperlihatkan semua bahagian yang ada di neraka. Keduanya menjawab apa saja yang kutanyakan mengenai keadaan neraka," begitulah diungkapkan Ibnu Umar kepada kakaknya yang juga isteri Rasul, Hafshah, keesokan harinya.

Hafshah langsung bertanyakan mimpi adiknya kepada Rasulullah. Rasulullah saw. bersabda:
"ni’marrajulu 'abdullah, lau kaana yushallii minallaili fayuksiru", akan menjadi lelaki paling utamalah Abdullah itu, andainya ia sering solat malam dan banyak melakukannya.

Semenjak itulah, sampai akhir hayatnya, Ibnu Umar tidak pernah meninggalkan qiyamullail, baik ketika bermukim atau bermusafir. Beliau amat tekun menegakkan solat, membaca Al-Quran dan banyak berzikir menyebut asma Allah. Beliau amat menyerupai ayahnya, Umar ibn Khatthab, yang selalu mencucurkan airmata tatkala mendengar ayat-ayat peringatan dari Al-Quran.

'Ubaid ibn 'Umair menjadi saksi, "Suatu ketika kubacakan ayat ini kepada Abdullah ibnu Umar." 'Ubaid membacakan ayat Al Quran, surah an-Nisaa’ :41-42 yang ertinya:

Maka bagaimanakah (halnya orang kafir nanti), apabila Kami datangkan seseorang saksi (rasul) dari tiap-tiap umat, dan Kami mendatangkan kamu (Muhamad) sebagai saksi atas mereka itu (sebagai umatmu). Di hari itu orang-orang kafir dan yang mendurhakai Rasul berharap kiranya mereka ditelan bumi, dan mereka tidak dapat menyembunyikan (dari Allah) sesuatu kejadian pun."

Maka Ibnu Umar menangis hingga janggutnya dibasahi oleh air matanya.

Pada kesempatan lain, Ibnu Umar sedang duduk di antara sahabatnya, lalu membaca surah Al Muthaffifin ayat1-6 yang maknanya:
Maka celakalah orang-orang yang berlaku curang dalam takaran. Yakni orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain meminta dipenuhi, tetapi mengurangkannya bila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain. Tidakkah mereka merasa bahawa mereka akan dibangkitkan nanti menghadapi suatu hari yang dahsyat, iaitu ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam?.

Lantas Ibnu Umar mengulang bahagian akhir ayat ke enam,

"ketika manusia berdiri menghadap Tuhan semesta alam."

Lantas air matanya bercucuran, sampai akhirnya beliau jatuh kerana merasa duka, takut dan cemas yang mendalam menyebabkan beliau banyak menangis.

Inilah pemuda hebat wahai pemuda zaman moden. Mereka amat menitikberatkan tarbiyah diri mereka. Mereka mentarbiyah diri mereka dengan al Quran dan Solat malam. Inilah bekalan jiwa mereka yang telah mencetuskan momentum hebat lantas berprestasi luarbiasa di medan dakwah. Inilah formulanya buat pemuda yang merasa lelah dan longlai saat memajukan dakwahnya. Tiada pemisahan antara dakwah dan tarbiah. Al Quran dan solat malam adalah rahsia kehebatan pemuda di zaman Rasulullah saw. Al Quran dan solat malam mencetuskan suatu energi luarbiasa kepada diri mereka untuk istiqamah dan tetap dalam perjuangan.

Ketahuilah bahawa Abdullah ibnu Umar adalah salah seorang sahabat Nabi yang berhati lembut dan begitu mendalam cintanya kepada Rasulullah. Saat Rasulullah saw telah wafat, apabila beliau mendengar nama Rasulullah disebut di hadapannya, beliau akan menangis. Ketika beliau melewati di sebuah tempat yang pernah disinggahi Rasulullah, baik di Mekah mahupun di Madinah, beliau akan memejamkan matanya, lantas butiran air bening meluncur dari sudut matanya.

Sebagai sahabat Rasul, ahli ibadah dan pejuang dakwah bersama baginda saw. beliau menjadi insan yang tidak punya minat lagi kepada dunia.Dunia baginya di dalam genggaman, malahan duani tidak mampu menipu daya momentum penghambaannya kepada Allah swt. Sikap luarbiasa beliau terhadap kecintaannya kepada akhirat sudah nampak sejak beliau remaja lagi, ketika pertama kali ghairahnya bangkit untuk ikut berjihad bersama Rasulullah saw.

Inilah contoh kepemudaan yang hebat, Rasulullah saw sentiasa di hati. Akhirat menjadi obsesi. Rahsia telah terbongkar, inilah ciri pemuda yang hebat di sisi Ilahi. Ayuh kita contohi, kita tiada masa lagi kerana dunia sedang menanti pemuda yang hebat memimpin dunia ini.

Bercitalah!

Posted by Unknown On 06:28 | No comments
Adakah cita-cita kita masih seperti kanak-kanak?
Ingin jadi seorang doktor, jurutera atau akauntan.
Namun bila ditanya kenapa...
Hanya menggeleng kepala
Terlupa pula nak fikir sampai sana...
Saja suka-suka?

Adakah cita-cita kita masih seperti kanak-kanak?
Ingin hidup yang mewah dan berada
Namun bila kenapa...
Payah pula mencari jawapannya
Tak tahu semuanya untuk apa
Akhirnya hanya mampu berkata
'Apa salahnya...'

Adakah cita-cita kita masih seperti kanak-kanak?
Ingin senang dan mudah sentiasa
Tanpa ujian dan tanpa beban 
Dan bila ditanya kenapa...
'Kerana hidup ini untuk bergembira'

Umar Abdul Aziz...
Bila ditanya apakah cita-citanya
Pantas saja dijawab 'syurga!'
Lantas dia berusaha
Dengan zuhudnya, ibadahnya dan jihadnya
Menjadi khalifah Islam yang tak terhitung jasanya
Demi meraih syurga yang dicita

Mus'ab bin Zubair...
Bila ditanya apakah cita-citanya
'Ingin melihat Iraq dikuasai muslimin'
Bukankah Allah telah menerimanya?
Berbahagialah dia dengan doanya yang mulia

Usamah bin Zaid
Bila ditanya apakah cita-citanya
'Ingin bersama mujahidin'
Lalu Allah perkenankan 
Usia 19 tahun dia bergelar panglima
Rasulullah s.a.w sendiri melantiknya

Urwah bin Jubair...
Bila ditanya apakah cita-citanya
'Ingin menguasai ilmu fiqh dan hadith'
Bersungguh belajar
berbekal Lillahi Taala
Lantas menjadi tokoh ulama` di zamannya
Ilmu fiqh dan meriwayat hadith

Hebat sungguh dan tingginya cita-cita mereka!
Hampir tidak tercapai dek akal kita
Impian mereka jauh ke hadapan...
Melebihi hayat usia
Bermati-matian mereka mencapainya

Buahnya? Seluruh dunia merasa
Manisnya sampai hari ini belum hilang
 Menegakkan agama Allah, ilmu fiqh dan meriwayat hadith
Supaya akhirnya sampai pada kita...

Untuk diri mereka?
Ah... mereka sedang bahagia menunggu musim menuai di akhirat sana!

Jadi usahlah kita seperti kanak-kanak
Berlari-lari dan bermain menikmati alam yang fana
Seperti kanak-kanak yang menunggu ibubapanya memanggil 
Untuk kembali ke pangkuan
 Bercita-cita hanya untuk diri sendiri
Berimpian pula supaya mudah saja untuk menggapainya
Dan berharap hasilnya cepat, dapat dituai di dunia

Tidak terasa beratnya amanah menjadi khalifah
 Tetapi... Tidak juga merasa nikmatnya berkorban untuk Allah
Walau susah, namun menenangkan
Walau payah, namun membahagiakan

Maka bercita-citalah!
Setinggi mungkin dan sehebat mungkin!
Bukan setakat untuk duniamu, bahkan sampai akhiratmu
Kerna... Di situlah nadi penggerak langkahmu
Di situlah titik mula
Dan moga kita berakhir di destinasi yang sama
Di Syurganya...

-Hilal Asyraf-

Saturday, 18 May 2013

Kereta Rosak

Posted by Unknown On 12:43 | 1 comment
Idhan berkawan rapat dengan Meri, Ajak, dan Ejan. Mereka berkongsi sebuah kereta Honda Civic dengan saham samarata. Suatu hari, kereta tersebut telah rosak total loss. Mereka berempat tidak mempunyai duit yang cukup untuk berkongsi membeli kereta baru.

Mujurlah Idhan mempunyai sebuah kereta oldskool Toyota KE30 yang bolehlah dipandu sekadar untuk berulang-alik dari kampus universiti ke rumah sewa mereka. Lalu mereka berempat berkongsi kereta Toyota tersebut. Ditakdirkan, kereta tersebut terbakar enjinnya, tanpa Idhan mengetahui siapakah yang bertanggungjawab. Ditanya ketiga-tiga rakannya, semua tidak mengaku. Idhan terdiam. Dia terpaksa mengeluarkan duit tabungannya untuk membaikpulih kereta hadiah daripada ayahnya itu.

Beberapa bulan kemudian, mereka berempat berjaya mengumpul duit samarata untuk membeli sebuah Perodua Myvi. Idhan gembira kerana akhirnya kereta Toyota itu tidak akan dilasakkan lagi.
Namun selepas beberapa bulan, Myvi tersebut perlu dihantar ke Puspakom untuk beberapa kelulusan.

Mereka ke Puspakom bersama-sama, Idhan memandu Toyota dan Meri memandu Myvi. Setelah Myvi diserahkan kepada pegawai Puspakom, mereka semua pulang ke rumah menaiki Toyota Idhan.

Dalam perjalanan, Ajak bertanya "Idhan, esok aku nak ke Bangsar, pinjam kereta kau?"
"Aku boleh pergi sekali tak?" Idhan menyahut.
"Ala kau.. Aku nak pergi jumpa tunang aku ni"
"Kalau aku tak join sekali, korang tak boleh bawak kereta ni" Idhan bersuara, agak tinggi. Agar didengari semua yang berada di dalam kereta.
"Pehal pulak?" Meri pelik.
"Kereta ni banyak kenangan pada aku. Hadiah ayah aku untuk aku. Hari tu rosak, siapa yang buat? Sampai hari ni aku tak tau. Nak baiki bukan seratus, aku habis lima ribu ringgit kot. Aku cakap camni, korang cakap aku ungkit. Biarlah, daripada aku terasa balik dengan korang, baik aku tak bagi awal-awal. Korang nak pergi mana-mana, aku bagi. Tapi biar aku pergi sekali. Kalau tak nak sangat, aku hantarkan je pun dah cukup. Aku terpaksa buat macam ni, aku tak nak kereta aku rosak, dan aku pun tak nak terasa dengan korang. Aku mintak maaf"

Akhirnya, Idhan tenang kerana apa yang dipendam, sudah terluah. Persahabatan mereka kembali pulih.



Cerita ini memang karangan sekolah rendah. Tetapi tauladan persahabatannya mampu diconteng di setiap lukisan umur. Kiasan kereta mungkin fakta. Jelas nampak ruginya. Kerana kereta itu berpuluh-puluh ribu. Bagaimana pula dengan cerek air, ubat gigi, kasut, dan bola? Remehnya... Sebiji bola itu hanya RM50, tetapi calar tikam pada persahabatan yang tidak ternilai? Itu tiada wang mampu mengubatnya.

Oleh itu wahai sahabat, kadang-kala gurau senda itu penawar. Kadang-kala ia juga racun senawar.
Jangan bergurau dengan mencaci mengeji. Berguraulah memuji mencintai.
Berkongsi itu untuk sama-sama untung. Bukan seorang memberi, seribu menyodong.
Kita semua mencari erti bahagia...
 

Kehidupan Memori

Posted by Unknown On 07:14 | 1 comment

Untuk menilai kehidupan, perlulah dikenal apa itu kehidupan. Apa cerita disebaliknya? Bagi aku, kehidupan aku sangat berkait rapat dengan keluarga. Ya, kehidupan aku, kisah hidup aku, juga kisah hidup abang dan kakakku. Kisah aku dan kisah mereka. Kisah kami bersama.

 Kalau disingkap kembali perjalanan hidupku sebagai anak kedua bongsu, memang banyaklah kemanjaan dan mengada-ngada akan berjaya dicungkil kembali. Tetapi bukan itu menjadi ceritera utama, kerana ia hanya ceriteraku.

Kalau dulu, pagi-pagi aku ke PASTI, Along atau Angah yang hantarkan. Dengan basikal.
Kalau sekarang, pagi-petang pasti aku berbasikal, ke Jaa'miah Mu'tah. Untuk menghadiri kuliah paginya, dan berfutsal petangnya.
Hidup ini ibarat roda, roda yang berpusing kerana itulah gunanya roda. Hari itu, hati ini, tiba-tiba terusik, dek jauhnya dari along dan angah. Mungkin juga berasbabkan letih mengayuh di bumi bergunung ini. Aku turun dari basikal, dan melepaskan letih di tepi jalan. Oh masa.. Mengapa engkau cepat berlalu? Kini masaku sudah terhabis 19 tahun, merindukan masaku 14 tahun dahulu, masa dimana aku masih ringan dilambung Along, digendong Angah. Oh masa..
Dan dikau wahai jarak, mengapa engkau memanjang diwaktu Along bergelar bapa, diwaktu Angah berstatus suami? Di waktu Kak Teh dipanggil ummi dan Kak Lang diseru mama?
Dan mengapa engkau wahai jarak, menjarakkan aku tatkala Abah sudah enam puluh dan Mama sudah lima puluh? Mengapa?

Sungguh jawapannya mudah. Aku tahu. Tetapi luluh hati ini siapa yang tahu?
Sungguh aku perlu kental. Perlu kukuh. Tetapi banjir mata ini empangan mana mampu kukuhi?

Kalau dulu Kak Lang masih single, boleh disakat-sakat, boleh dimanja, sehingga kering dompetnya,
Kalau dulu Kak Teh masih di Gong Kapas, masakannya masih boleh kupulun seorang diri, masih mampu menolongku menggosok baju,
Kalau dulu Kak Cik masih belajar, masih boleh digeletek, spaghetti masih panas beraroma untuk aku lahap semua,
Kalau dulu Kak Ude masih remaja, masih bisa bergaduh denganku, masih kuat main badminton denganku,
Dan kalau semua itu masih boleh...

Sungguh semua itu masih mampu, tetapi perasaannya dan jiwanya sudah berbeza, kerna Along itu sudah bapa, Angah itu sudah ayah, Abah itu atok, dan Mama itu nenda. Aku memandang Kak Lang itu sudah ibu, Kak Teh itu sudah ummi, Kak Cik itu wanita korporat elegan, Kak Ude itu gadis cantik menawan,
dan aku masih menangis...
dan aku masih di sini... termimpi memori...

Memang lumrah semakin dewasa, baju sendiri basuh, makanan sendiri masak. Mata zahir berkata : Ini biasa-biasa saja, kita semakin dewasa, semua orang mengalaminya.
Tetapi mata hati berlara : Ini cukup indah dari erti kedewasaan, tetapi cukup menggundah dari erti kejauhan, keseorangan, kematian, dan kesayuan.

Aku sayu... Kiranya tuhan menayangkan kembali memori kita bersama di Mahsyar nanti, sanggupkah kutertawa? Menangis? Kiranya juga tuhan tidak menayangkannya, apakah kukan gembira? Atau berduka?

Mama
Abah
Along
Angah
Kak Lang
Kak Teh
Kak Cik
Kak Ude
Adli Sayang
Jangan lupa memori kita! Memori kita bersama menjual jam, keropok, kalendar, dan acar buah..
Jangan lupa kenangan kita! Kenangan kita bersuka-ria di mahkamah tinggi, bersenang-lenang di balai polis, berkelah di imigresen pada pukul tiga pagi..
Tolonglah jangan lupa... Akan segala tentang kita...

Mama, sungguh anakmu merinduimu...

Sunday, 12 May 2013

di Raudhah

Posted by Unknown On 13:20 | 2 comments
di Raudhah

masukku berebut
langkahku sebesar semut
menyepi bersendiri
menyempit berbagi-bagi

sujudku tidak seindah
tunduk menteri ke raja megah
kepala, ubun-ubun malah
dikucup tapak kaki saudara yang entah
inilah Raudhah

datang seorang tua
dari malaya katanya
bersama dua anak muda

terlalu sempit
tiada ruang mereka bersolat

lalu kutawarkan ruangku
sedang kuberdiri di penjuru

mereka solat bergilir
anak bapa dihilir
bapa pula meminggir

duhai Raudhah...

kaulupa janganlah
saat itu kenanglah
tangisku abadilah
maafku catitlah
maafku pada Abah

bapa dahulukan anak sujud di Raudhah
abah dahulukan aku sujud di Madinah
duit bapa, bapa dan anak menemui Kaabah
duit abah, hanya aku dan tidak abah

urat muda abah
tulang muda abah
mencari upah
bukan haji bukan umrah
hanya permudah susah
tak mau lihat anak payah

jika dulu uangmu kau hajikan
boleh
jika dulu uangmu kau umrahkan
boleh
tetapi kau anakkan
bolehkah anakmu balaskan?
tidak boleh

bapa itu tajaannya petronas
mampu umrahkan anak berbelas-belas
anakmu hanya bertaja zakat
ke umrah sakit
pinta abah sedikit
oh aku malu...

aku malu
kerna kiranya belajarku tekun
duit minyak mampu kupohon
duit raja bisa kuhimpun
duit negara harus kupegun

andai kira aku kaya
kaya bertaja duit berjuta
umrah, haji, cakap apa saja
kudahulukan abah dan mama

tapi kutiada apa untuk diberi
emas perak ilmu harta dan juga ganti
maafkan anakmu tika berdiri,
duduk malah mati

doa sunyi
anakmu kirimi
ampunkan mama
ampunkan abah
hanya ini
mampu dihadiahi
dari anakmu si
ikram rafaei..

masjidil haram, 1.2.13, 1.41am